Saturday, March 31, 2007

Penggunaan Nama Islam

LATAR BELAKANG
  • Isu perpaduan dan perpecahan merupakan isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.
  • Isu ini timbul berikutan adanya dakwaan bahawa perpaduan Ummat Islam di Malaysia kian tergugat yang menimbulkan polemik kafir-mengkafir ,kurangnya sokongan rakyat kepada dasar pemerintah dan lain-lain isu berkaitan.
  • Maka kerajaan telah mengenal pasti antara punca perpecahan itu dan perlu dibendung di peringkat awal lagi.
  • Antara faktor yang sering diketengahkan ialah penggunaan perkataan ISLAM dalam satu-satu pertubuhan .Jesteru pihak Istana sebagai pihak berkuasa utama agama Islam di negeri-negeri adalah pihak yang diharapkan dapat mencari jalan penyelesaian dan mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung masalah perpecahan yang didakwa akibat dari penggunaan perkataan ISLAM dalam sesuatu pertubuhan tadi.
  • Mufti adalah bertanggungjawab untuk memberi nasihat kepada DYMM Paduka Seri Sultan dan kepada kerajaan yang memerintah supaya segala tindakan khususnya berkaitan dengan hukum syara’ dapat diterima oleh rakyat ,membina keyakinan rakyat kepada kredibiliti dan keberkesanan pemerintah yang ada dengan pertimbangan yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam itu sendiri.


PANDANGAN ISLAM TERHADAP PENGGUNAAN PERKATAAN ISLAM OLEH UMMATNYA.

  • Perkataan ISLAM adalah nama yang diberikan oleh Allah SWT kepada agama (ad din) yang diredhaiNya sebagaimana dalam firmanNya :
    “Sesungguhnya agama yang diredhaiNya di sisi Allah hanyalah ISLAM” (Ali Imran 19)
    dan firmanNya lagi :
    “Pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah aku cukupkan kepada mu nikmatKu dan aku telah redha ISLAM itu agama untukmu” (Al Maidah 3)
    Orang yang menyebut : Allah SWT sebagai Tuhannya , ISLAM sebagai agamanya dan Muhammad SAW sebagai Nabinya maka ia berhak untuk mendapat keredhaan Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
    “Barangsiapa berkata ketika petang dan ketika pagi –aku redha Allah Tuhanku, ISLAM agama ku dan Muhammad nabiku – sesungguhnya ia berhak untuk mendapat keredhaan Allah” . (H.R Tirmizi)
  • Allah SWT menamakan orang-orang yang menganut agama yang diredhaiNya ini sebagai orang-orang Islam , sebagaimana dalam firmanNya :
    “Dia (Allah) telah menamai kamu sekelian orang-orang muslim sejak dari dahulu”. (Al hajj 78)
    Orang-orang Islam diperintahkan untuk menggunakan nama ini dan tidak boleh menggunakan nama lain .Ibnu Kathir berkata bahawa An nasai telah menyebut dalam menafsirkan ayat ini hadith yang berasal Al Harith Al Asy’ari sabda Nabi SAW :
    “Barangsiapa yang memanggil dengan panggilan jahiliyyah maka sesungguhnya ia akan menjadi timbunan batu neraka jahannam.Berkata seorang lelaki – meskipun ia berpuasa dan bersembahyang ?- berkata Nabi SAW – ya meskipun ia berpuasa dan bersembahyang.Oleh itu panggillah dengan panggilan Allah yang menamakan kamu dengan panggilan itu (iaitu panggilan Islam)akan orang-orang muslim yang beriman sebagai hamba Allah”(Tafsir Al Quran Al Azim j 3 ms 297)
  • Allah menegaskan bahawa orang yang mencari agama selain ISLAM tidak akan diterima sebagaimana dalam firmanNya:
    “Barangsiapa yang mencari agama selain daripada Islam sekali-kali tidak akan diterima daripadanya dan diakhirat dia termasuk orang-orang yang rugi .” Ali Imran 85
  • Allah memberi pujian kepada orang-orang Islam yang merasa bangga dan gagah menegaskankan keislamannya sebagaimana dalam firmanNya :
    “Dan tidak ada yang lebih baik perkataan daripada orang yang menyeru kepada Allah dan ia sendiri mengerjakan amal yang soleh , sambil berkata “sesungguhnya aku adalah dari kalangan orang-orang Islam. Fussilat 33
    Menurut Dr Wahbah Az Zuhaili , ada tiga perkara yang perlu difahami dari ayat ini , iaitu : Seruan untuk mentauhid dan mentaati Allah , melaksanakan apa yang diwajibkan Allah kepada manusia dan menjadikan Islam sebagai agama dan cara hidup.Tidak ada kata-kata lain yang lebih baik daripadanya .Dan ketika ia mengatakan “Bahwa sesungguhnya aku adalah dari kalangan orang-orang Islam” .Dalam menyebut perkataan itu mesti ada perasaan kuat dan gagah dan merasa bangga dengan Menjadikan Islam sebagai satu cara hidup dan agama.(Tafsir al Munir J 24 ms 226-229)
  • Ketika berhadapan dengan ahli kitab , apabila mereka enggan menerima seruan kepada kalimah tauhid seperti dalam ayat 64 surah Ali Imran , maka orang-orang Islam perlu menegaskan pendirian dan identiti mereka behawa mereka adalah orang-orang Islam sebagaimana firmanNya :
    Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".
  • Allah memerintahkan supaya orang-orang Islam sentiasa bertaqwa dan memelihara keIslamannya sehinggalah sampai waktu kematian sebagaimana firmanNya:
    Wahai orang-orang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar bertaqwa dan jangnlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam . Ali Imran 102
    Apabila diteliti ayat-ayat sebelum dan selepas ayat ini adalah peringatan supaya oarng-orang Islam tidak terpengaruh akan hasutan-hasutan musuhnya yang boleh membawa perpecahan kepada mereka dan menegaskan supaya orang-orang Islam berpegaang teguh dengan tali Allah (agama Islam) Maka penzahiran Islam dan bertaqwa sepanjang hayatnya bukan menjadi punca perpecahan sebaliknya menjadi benteng daripada berlakunya perpecahan.


DARI SUDUT SEJARAH – PENGALAMAN DI INDONESIA

  • Perkataan ISLAM sudah sekian lama digunakan oleh orang-orang Islam di negara-negara umat Islam sebagai nama pertubuhan-pertubuhan mereka untuk dijadikan alat menyatukan dan menyedarkan rakyat menghadapi penjajah.Sebagai contoh « SYARIKAT ISLAM » DI Indonesia yang berdiri semenjak 1912 telah memberi sumbangan yang besar begi mencapai kemerdekaan Indonesia .Apa yang lebih menarik , pemerintah kolonial Belanda tidak pernah melarang menggunakan perkataan Islam dalam pertubuhan ini dan pertubuhan-pertubuhan lain yang menggunakan perkataan Islam .
  • Pada tahun 1945 ummat Islam di Indonesia telah menubuhkan « MASYUMI » (Majlis Syura Muslimin Indonesia) untuk mempertahankan kemerdekaan Indonesia dan ternyata MASYUMI telah berjaya mempertahankan dan mengisi kemerdekaan Indonesia. Akan tetapi dengan desakan Partai Komunis Indonesia (PKI) Presiden Sukarno telah mengharamkan Partai MASYUMI yang kemudian membawa malapetaka kepada Indonesia dengan berlakunya kudeta Partai Komunis Indonesia pada tahun 1965 . Nasib yang sama telah menimpa Presiden Suharto apabila beliau melarang penggunaan asas Islam pada partai dan pertubuhan dengan memperkenalkan « ASAS TUNGGAL PANCASILA » telah membawa padah kepada Suharto dengan kejatuhannya pada 1988.


PERANCANGAN MUSUH-MUSUH ISLAM

  • Musuh-musuh Islam telah lama merancang untuk memutuskan hubungan orang-orang Islam dengan agama Islam dengan jalan menghapuskan segala sesuatu yang ada hubungan dengan Islam Inilah yang diperingatkan oleh Allah SWT dalam firmanNya :
    Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Al Baqarah 120
    Rasulullah SAW juga telah memberi peringatan melalui sabdanya :
    “Sesungguhnya kamu akan mengikut cara hidup orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal , sehasta demi sehasta sehingga seandainya mereka masuk lubang biawak pun pasti kamu akan menurutinya . Kami bertanya ya RasulAllah adakah maksudnya orang-orang Yahudi dan Nasrani ? Rasulullah SAW berkata ; Siapa lagi ! “ Hadith Riwayat Muslim

PANDANGAN DR YUSUF AL QARADHAWI

  • Sebenarnya Islam adalah agama yang disampaikan oleh para nabi sehinggalah pengajarannya disempurnakan oleh Nabi Muhammad SAW.Suruhan Allah SWt supaya menzahirkan dan mengiklankan serta merasa bangga dengan Islam telah berlangsung bukan saja ke atas Nabi Muhammad SAW sahaja bahkan suruhan ini telah berlangsung ke atas nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad SAW lagi.
  • Kepada Nabi Nuh a.s
    “Sekiranya kamu berpaling dari ajaranku maka sesungguhnya aku tidak memerlukan upah daripadamu sesungguhnya ganjaranku diberikan oleh Allah SWT dan aku diperintahkan untuk menjadi orang Islam.” Yunus 72
  • Kepada Nabi Ibrahim:
    “Dan ingatlah ketika Tuhannya memerintahkan kepadanya untuk berserah kepada Allah maka berkata Ibrahim aku menyerah diri kepada Allah .Dan Ibrahim berwasiat kepada anaknya dan nabi Yaacob – wahai anak-anak ku sesungguhnya Allah SWT telah memilih bagi kalian agama Islam dan janganlah sekali-kali kamu mati keculai dalam keadaan sebagai orang Islam” Al Baqarah 131,132
  • Berkata Nabi Musa as kepada kaumnya:
    “Wahai kaumku jika sekiranya kalian beriman maka hendaklah bertawakkal kepada Allah jika kalian benar-benar menyerah diri kepada Allah (muslim) “ Yunus 84

ASAS-ASAS LAIN

  • Larangan penggunaan perkataan ISLAM akan memberi kelebihan kepada pertubuhan-pertubuhan agama lain dengan seluas-luasnya menyebar dan mempopularkan diayah mereka.
  • Perpecahan yang didakwa berlaku bukanlah atas kelemahan perkataan “ISLAM” itu sendiri tetapi adalah lebih dilihat kepada perlakuan dan sikap penganut-penganutnya yang lari dari ajaran islam yang sebenar.
  • Pertubuhan yang menggunakan nama ISLAM sepatutnya akan lebih berhati-hati dalam segenap kegiatannya kerana ia membawa implikasi terhadap gambaran ajaran Islam itu sendiri.
  • Orang melayu sudah lama menggunakan perkataan ISLAM dan ia diperakui sendiri oleh rakyat bukan Islam malah mendapat pengiktirafan di dalam perlembagaan negara .Larangan menggunakan perkataan ISLAM akan melibatkan perubahan besar dalam perlembagaan negara dan sudah tentu akan membahayakan umat Islam itu sendiri dalam negara yang berbilang kaum ini.
  • Institusi Sultan sebagai pemegang kuasa tertinggi agama akan tergugat kerana selama ini seluruh umat Islam amat menghormati Institusi ini kerana ia juga adalah salah satu dari ajaran ISLAM itu sendiri.

No comments: